JOHOR BAHARU, 8 Mac - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menerima keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan menggunakan peluang yang ada untuk memperbaiki diri.
Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata Penasihat PKR itu perlu bersyukur dengan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhi terhadapnya yang disifatkan sebagai bernasib baik berbanding hukuman lebih berat iaitu maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.
"Harus diingatkan Anwar sudah mempunyai rekod dipenjarakan sebelum ini. Kalau kesalahan kedua, biasanya hukumannya berganda tetapi Anwar hanya dikenakan lima tahun penjara dan tidak dikenakan sebatan kerana faktor umur.
"Jadi, cukup-cukup lah...Anwar dan keluarganya patut bersyukur dan gunakan peluang yang ada untuk kembali ke pangkal jalan dan berbakti kepada masyarakat," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Perkasa Johor dan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Kepada Pengerusi-Pengerusi Perkasa Kawasan Parlimen Dalam Negeri Johor, di sini, Sabtu.
Ibrahim berkata Anwar mahupun para penyokongnya juga diingatkan supaya mengikut undang-undang negara ini dengan tidak sekali-kali mengadakan demonstrasi jalanan seperti 'Arab Spring' demi memelihara kerukunan negara.
Sehubungan itu, beliau mahu pihak berkuasa supaya tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang bercadang mengadakan bantahan terhadap keputusan mahkamah itu dengan mengenakan hukuman yang tegas terhadap mereka.
Dalam perkembangan lain, Ibrahim berkata pihaknya memohon Institusi Diraja di negara ini diperkasakan dengan melakukan transformasi supaya kekal relevan dan tidak diperlekeh mana-mana pihak.
Beliau berkata Perkasa memohon perkenan supaya Raja-Raja Melayu menjalin hubungan lebih rapat dengan rakyat supaya konsep 'Raja sebagai payung rakyat' lebih berperanan.
"Institusi Diraja perlu menjadi model kepada ummah dengan memperkasakan konsep 'kepimpinan melalui teladan' dan kita mahu lihat, kalau tidak 100 peratus pun, ia menjadi institusi di mana Raja-Raja Melayu tiada cacat cela," katanya.
Mengenai penyerahan watikah pelantikan bagi tempoh 2013-2016, beliau berkata ia bagi memudahkan struktur organisasi pertubuhan itu di setiap kawasan Parlimen berbanding setiap daerah sebelum ini.
"Daripada pengerusi daerah, kita pecahkan kepada pengerusi setiap kawasan Parlimen untuk ringankan beban kepimpinan supaya memudahkan penyampaian sehingga ke peringkat akar umbi," katanya.
View the original article here