KUALA LUMPUR 8 Mac - Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) telah membuat keputusan untuk memboikot hari kedua sidang parlimen minggu hadapan sebagai tanda protes ke atas hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keputusan itu juga diambil sebagai tanda solidariti kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sedang menunggu hukuman yang bakal dikenakan ke atasnya setelah didapati bersalah di bawah Akta Hasutan dalam satu kes perbicaraan baru-baru ini.
Kenyataan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook itu bagaimanapun menyatakan yang ahli-ahli parlimen PR tidak akan memboikot majlis perasmian parlimen penggal pertama tahun 2014 yang bakal disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Isnin 10 Mac ini.
Tidak dinyatakan pula apakah pemboikotan sidang parlimen pada 11 Mac itu akan diteruskan pada hari-hari berikutnya.
Semalam, Mahkamah Rayuan memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah bagi tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Keputusan itu diumumkan panel tiga hakim selepas mendengar hujaham pendakwa raya dan peguam bela bermula semalam.
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi telah membebas dan melepaskan Ketua Pembangkang itu daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara antara jam 3.10 petang hingga jam 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan berhubung keputusan itu dengan melantik Tan Sri Muhammad Shaefee Abdullah mengetuai pihak pendakwa raya.
View the original article here