KAJANG 7 Mac - Satu bentuk provokasi dahsyat bakal berlaku sepanjang tempoh berkempen pada Pilihanraya Kecil (PRK) di Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Yang Dipertua PAS Gombak Salehuddin Nasir berkata pimpinan parti dapat merasakan bahawa apabila berlakunya PRK maka jentera yang dihadapi adalah melibatkan jentera daripada kerajaan pusat.
"Kita bukan berhadapan dengan UMNO, parti MCA atau MIC dan BN tetapi kita semua maklum kita akan berhadapan dengan jentera pilihanraya kerajaan pusat,"
"Kita akan berhadapan dengan jentera Pemuda UMNO yang hilang akal yang apabila dimandikan dengan kewangan, mereka akan lakukan apa sahaja. Kita akan menghadapi provokasi yang dahsyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pakatan Rakyat (PR) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kantan sempena PRK DUN Kajang yang disempurnakan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali malam tadi.
Hadir sama Ketua Wanita PKR merangkap Timbalan Pengarah PRK Kajang Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Hulu Langat Dr. Che Rosli Che Mat, ADUN Sri Andalas Dr. Xavier Jayakumar dan mantan Presiden Pertama Angkatan Belia Islam (ABIM) Dr. Razali Nawawi.
Tambah Salehuddin kepada kira-kira 80 hadirin, jentera kerajaan pusat itu akan digerakkan tanpa batasan sesuka hati malah turut menuduh parti lawan mengamalkan budaya politik kotor.
"Apabila mereka guna jentera kerajaan pusat, daripada sumber kewangan kerajaan pusat yang tiada had, berbilion, trilion yang dikuasai. Mereka kuasai jentera penerangan, sudah tentu guna media massa sebebasnya tanpa had,"
"Strategi fitnah, kaedah dan teknik ugutan, ancaman bagi menakutkan pengundi dan segala bentuk kaedah dan cara asalkan mereka dapat mencapai matlamat, mereka akan guna dan laksanakan. Matlamat mereka menghalalkan cara," katanya.
Sehubungan itu beliau meminta pengundi di Kajang supaya dapat terus memberi kepercayaan kepada parti PR dengan memberi undi kepada calon mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Ketua Pembangkang untuk memperoleh kemenangan besar.
"Kita perlu menang dengan majoriti besar supaya dapat menghantar mesej kepada UMNO dan BN bahawa Kajang ini benar-benar menjadi 'Kajang pak malau kajang berlipat' kepada UMNO/BN,"
"Walapun berbilion dan kepelbagai bentuk projek akan mereka curahkan disini, cara untuk membeli undi tetapi apabila rakyat nyatakan kepercayaan kepada PR saya yakin Anwar atas nama PR calon di sini akan menang dengan majoriti besar di Kajang," ujar beliau.
View the original article here