KUALA LUMPUR, 23 April - Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan akan mengumumkan keputusan calon yang berjaya dalam program matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai esok.
Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pendidikan, Baharuddin Mohd Shairi dalam kenyataan hari ini berkata pengumuman keputusan berkenaan adalah bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2013 yang telah membuat permohonan sebelum tarikh tutup pada 10 Okt 2013.
"Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang KPM di www.moe.gov.my," katanya.
Tambah Baharuddin, bagi calon yang berjaya dan ditawarkan ke Program Matrikulasi KPM sesi 2014/2015, mereka dikehendaki membawa bersama surat tawaran, panduan pendaftaran, dokumen matlamat pelajar serta borang perjanjian pelajar (dua salinan).
Katanya, tarikh pendaftaran bagi Kolej Matrikulasi di seluruh Semenanjung ialah pada 26 Mei 2014.
Bagi Kolej Matrikulasi Labuan dan Kolej Matrikulasi Perlis, tarikh pendaftaran ialah pada 19 Mei 2014. Sementara bagi Kolej Matrikulasi Sarawak, Kolej Matrikulasi Kedah dan Kolej Matrikulasi Kelantan ialah pada 25 Mei 2014, jelas beliau.
"Bagi calon yang tidak berjaya, rayuan boleh dikemukakan terus menerusi laman sesawang KPM mulai 24 April hingga 8 Mei 2014. Rayuan yang dibuat selepas tarikh tutup iaitu 8 Mei tidak akan dipertimbangkan," katanya.
Katanya, sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Bahagian Matrikulasi KPM di talian 03-88844036/4040/4083 pada hari bekerja dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
sumber