KUALA LUMPUR, 23 April - Pengurus dana veteran, Shireen Muhiudeen, adalah satu-satunya warga Malaysia yang termasuk dalam senarai tahunan 50 Power Businesswomen" Forbes Asia 2014.
Beliau ialah pengasas dan ketua pengurus dana Corston-Smith Asset Management.
Senarai itu diterbitkan oleh majalah itu yang menampilkan 50 daripada ahli perniagaan wanita yang paling cemerlang dan berkuasa di Asia Pasifik, berdasarkan pendapatan syarikat, kedudukan wanita itu dalam syarikat dan sejauh mana beliau terlibat dalam operasi syarikat, kata Corston-Smith dalam satu kenyataan hari ini.
Senarai tahun ini juga memasukkan warga Singapura, Chew Gek Khim, Pengerusi Eksekutif Straits Trading; Ho Ching, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Holdings; Sun Yafang, Pengerusi Huawei Technologies China; Nishi Vasudeva, Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Hindustan Petroleum dari India; dan Eleanor Kwok, Pengasas dan Naib Pengerusi Sa Sa International Holdings dari Hong Kong.
Yvonne Chia, Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, berada dalam senarai tersebut tahun lepas.
sumber