KUALA LUMPUR 15 April - System Consultancy Services Sdn Bhd (SCS) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memperkenalkan Tactical Communication Operation Management Sustem (TACCOMS) sebagai peranti menjejak dan mengawal operasi ketenteraan dalam sesebuah operasi.
Pensyarah Sains Komputer Prof Madya Kapten Syed Nasir Alsagoff Syed Zakaria berkata, TACCOMS merangkumi sistem teknikal bersepadu bagi perintah, kawalan, komunikasi dan koordinasi operasi ketenteraan dengan lebih sistematik.
"Produk ini merupakan sistem teknikal dimana kita boleh mengawal dan kedudukan individu diatas peta dan arah tujuan seseorang individu tersebut.
"Kelebihan TACCOMS adalah kita boleh memberikan arahan, kawalan, komunikasi dan ebih penting koordinasi seseorang dalam sesebuah operasi,"katanya kepada wartawan RakyatNews pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2014 (DSA 2014) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
Jelas Syed Nasir, setiap individu dilengkapi alat komunikasi pencawang yang disambungkan terus ke pencawang induk dengan jarak jejak sehingga empat kilometer.
Tambahnya lagi, setiap anggota turut dilengkapi dengan sistem komunikasi bimbit menggunakan sistem operasi android bagi menerima, menghantar, menjejak serta mendapatkan arah serta koordinasi misi.
TACCOMS dibangunkan oleh UPNM menggunakan sistem perintah dan kawalan yang digunakan oleh SCS bagi di kapal perang milik Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) dan kereta peronda Polis Di Raja Malaysia (PDRM).
Berlainan dengan sistem perintah dan kawalan SCS, TACCOMS lebih menjurus kepada operasi taktikal yang digunakan terus dalam operasi fizikal seperti mencari dan menyelamat atau operasi serangan.
"Keseluruhan set bagi 10 individu bernilai RM200,000. Lengkap dengan perkakasan, perisian, latihan dan penyelenggaraan," ujar Syed Nasir.