Gaza : Israel mengesahkan sedang melakukan persiapan bagi melancarkan serangan darat di Semenanjung Gaza.
Persediaan itu dibuat ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bersiap sedia mengadakan mesyuarat gempar membincangkan isu keganasan yang semakin meningkat di kawasan itu.
Presiden Israel Shimon Peres memberitahu CNN serangan boleh berlaku dalam masa terdekat.
"Jika pelancaran roket berterusan, kita tidak akan menolak kemungkinan serangan darat," katanya.
Kereta kebal Israel sudah kelihatan berkumpul di sempadan Gaza dan Israel juga telah memanggil 40,000 anggota pasukan simpanannya.
Menurut penganalisa, tentera Israel yang memasuki Gaza berkemungkinan besar menghadapi senjata pembinasa kereta kebal oleh Hamas termasuk peluru Kornet yang diguna oleh Hezbollah ketika perang Lebanon 2006 selain bahan letupan buatan sendiri.
Kemungkinan juga anggota tentera Israel akan ditangkap bagi pertukaran tawanan perang.
Sekurangnya 74 warga Gaza terbunuh sejak Israel melancarkan Operasi ‘Protective Edge’ awal Selasa lalu untuk menghalang pelancaran roket.
Sehingga kini, tiada warga Israel yang maut.
Mesir juga telah membuka sempadannya di Rafah dan hospital di utara Sinai bersiap sedia merawat mangsa serangan itu, menurut agensi berita Mesir MENA.
Sementara itu, Ketua PBB Ban Ki-moon memberi amaran krisis ini boleh bertambah buruk dan menjadi tidak terkawal dalam sekelip mata dan berkata, risiko keganasan akan berleluasa menjadi semakin nyata.
"Kawasan Gaza tidak mampu terlibat dalam satu lagi peperangan besar," katanya.
Ban sudah bercakap dengan Peres, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi serta Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry mengenai krisis ini.
Majlis Keselamatan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan
krisis ini, malam ini.
Keganasan kali ini adalah yang paling buruk di Gaza sejak November 2012 dengan 750 serangan udara Israel dalam tempoh 48 jam. - AFP