Beberapa keluarga penumpang berkumpul di KLIA hari ini, menunggu berita terkini penerbangan MH17 yang nahas semalam. - Gambar fail The Malaysian Insider."Belajar bersungguh-sungguh untuk STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) nanti," demikian kata-kata yang sering diucapkan Meling Mula, 48, kepada anak sulungnya, Maryline Sindun yang bakal menduduki peperiksaan itu November nanti.
Meling, pekerja pemasang perancah sebuah syarikat minyak dan gas yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan bertugas di Venuezula, disifatkan seorang ayah yang mementingkan pelajaran anak-anak.
"Ayah sentiasa membuat saya tersenyum dan gembira, dia sangat mengambil berat soal pelajaran saya," katanya dalam keadaan sebak tidak dapat menahan kesedihan di atas kehilangan ayahnya itu.
Meling seorang daripada penumpang pesawat MH17 yang berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) dan dijadual tiba di KLIA, Sepang pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) hari ini.
Suasana sedih dan pilu menyelubungi kediamannya Flat Sungai Pelan, Tanjung Kidurong di Bintulu, isteri Meling, Simbut Kedit, 39, bersama tiga anaknya, Maryline Sindun, 18, Benedict Bana, 15, dan Gabriel, 8, menanti perkembangan terkini dari pihak Malaysia Airlines (MAS) mengenai tragedi MH17 itu.
Bagi Simbut, dia tidak menyangka suaminya yang pulang ke kediaman mereka April lepas merupakan kepulangan terakhir untuk bersama keluarga.
"Meling sepatutnya pulang ke Bintulu hari ini selepas menaiki penerbangan pesawat MH17 itu.
Saya benar-benar tidak menyangka suami juga menjadi mangsa dalam tragedi itu. Dia suami dan bapa yang baik, bertanggungjawab dan sentiasa mengambil berat mengenai keluarga," katanya.
Menurut Simbut, suaminya selalu menghubungi mereka sekeluarga, dan sejak awal bulan ini sudah memaklumkan rancangan untuk pulang ke Bintulu hari ini.
"Suami dah berjanji hendak membawa kami semua berjalan semasa cuti nanti," katanya. – Bernama, 18 Julai, 2014.