SUNGAI PETANI – Empat sekeluarga membuktikan berbudi pada tanah tetap berupaya membawa hasil lumayan apabila bidang penternakan yang diceburi sejak enam tahun lalu memberi pulangan sekitar RM50,000 sebulan.
Pemilik bersama Sinar Utara Agrofarm, Nor Khairah Jamaluddin, 34, berkata mereka menumpukan kepada ternakan kambing yang menghasilkan daging dan susu segar.
Bermula dengan 21 ekor kambing di ladang ternakan seluas 2.5 hektar di Kampung Padang Besar, Jeneri dekat sini, ladang kami kini menternak lebih 130 ekor kambing, katanya kepada Bernama di sini.
Menurut siswazah bidang multimedia dari Universiti Sains Malaysia itu kambing yang diternak terdiri daripada baka Jamnapari, Farrel, Boer, dan Shami.
“Sejak setahun lalu syarikat kami menumpukan kepada penjualan daging kambing segar selain turut mengimport daging lembu dari Australia.
“Selain itu kami juga membekalkan susu kambing segar dengan permintaan lebih 1,000 botol seminggu, terutama sekitar Alor Setar,” katanya.
Nor Khairiah yang dibantu suami Mohd Zaim Kamaruddin, 34 serta abangnya Azhan, 35 dan adik Azri, 31, berkata mereka juga mengusahakan ternakan itik telur, arnab dan lebah kelulut.
“Orang ramai khususnya peminat daging segar boleh berkunjung ke kedai kami di Bandar Lagenda, Merbok atau hubungi melalui facebook Sinar Utara Agrofarm atau talian 019-4267726,” katanya. – BERNAMA
sumber