KUALA LUMPUR: PERODUA membuka tempahan mulai hari
ini bagi model terbaharunya, PERODUA Axia, kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama
Malaysia yang dijual pada harga bermula RM24,900.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Aminar Rashid
Salleh, berkata model terbaharu dengan penjimatan bahan api dipandu sehingga
21.6 kilometer (km) bagi setiap liter turut ditawarkan dengan fungsi unik dan
harga yang berpatutan.
"Kami mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia untuk hadir ke 180 bilik
pameran jualan kami di seluruh negara untuk mengetahui dengan lebih lanjut
mengenai tawaran terbaharu dan paling menarik dari kami.
"Tempahan bagi
model PERODUA Axia adalah RM250 dan RM300 bergantung kepada varian," katanya
dalam satu kenyataan semalam.
Dijadualkan untuk pelancaran tidak lama
lagi, PERODUA Axia adalah model generasi akan datang yang dihasilkan menerusi
pemodenan PERODUA dan dari kilang pengeluaran mesra alam terbaharu syarikat
berkenaan.
PERODUA Axia ditawarkan dengan empat varian iaitu Standard E,
Standard G, Special Edition dan Advance.
Semua varian didatangkan dengan
jaminan lima tahun, konsep pertama yang ditawarkan PERODUA.
Penggunaan nama
"Axia" (disebut a-zee-a) dipilih hasil gabungan perkataan Asia, sementara abjad
"X" menunjukkan nombor 10 dalam angka Roman yang mewakili model ke-10 yang
dikeluarkan PERODUA.
Dihasilkan menerusi kilang mesra alam baharu milik
PERODUA, kemudahan itu antara lain berfungsi menghasilkan formula semburan cat
berasas air yang kurang kasar berbanding cat berasaskan pelarut yang digunakan
ketika ini.
Penggunaan sistem automasi pada paras tinggi itu juga
meningkatkan kualiti dan pada masa sama mengurangkan kos operasi.
"Kami
percaya bahawa PERODUA Axia adalah model berdaya saing di rantau ini, itulah
sebabnya perkataan "Asia" digunakan selain ia menjadi satu standard baharu
kepada kami.
"Standard ini boleh dikategorikan kepada empat garis utama
iaitu mesra alam, ruang luas untuk kereta kompak, pemanduan mudah dan ekonomik
dari segi kos pemilikan," kata Aminar Rashid.
Dengan slogan "Your Smart
Move", model itu mewakili usaha PERODUA menjadi lebih berdaya saing di peringkat
global dari segi gaya, fungsi dan harga.
PERODUA Axia boleh memuatkan
empat beg dengan keupayaan ruang isi barang 260 liter.