The Hague: Malaysia mengulangi pendirian untuk mendakwa pihak
bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 di mahkamah Malaysia kerana kapal
terbang itu milik Penerbangan Malaysia (MAS).
"Suspek
yang didakwa menembak jatuh pesawat MH17 akan didakwa di Malaysia kerana pesawat
itu adalah hak milik negara," kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Beliau berkata, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak mempunyai
bidang kuasa untuk menjalankan pendakwaan terhadap insiden itu berikutan
Malaysia dan Belanda menyatakan kesediaan untuk mengambil tindakan terhadap
mereka yang bertanggungjawab.
"Tempoh masa tertentu perlu diberikan
kepada pihak yang sedang menjalankan siasatan.
"Kita mungkin akan
mendapat gambaran lebih luas berhubung perkara ini selepas hari Khamis (sebaik
penghantaran 20 jasad mangsa MH17 rakyat Malaysia dilakukan),"
katanya.
Bagaimanapun, Abdul Gani mengakui bahawa Kerajaan Malaysia tidak
boleh terburu-buru berbuat demikian kerana semua tindakan perlu berdasarkan
kepada hasil siasatan.
Beliau yang ditemui wartawan Harian Metro di
sini, semalam berkata, buat masa ini tindakan pihak kerajaan masih belum sampai
ke peringkat pendakwaan.
Menurutnya, penelitian rapi pelbagai sudut
perlu dilakukan sebelum kerajaan mengambil sebarang tindakan berikutan semua
perkara ini memerlukan siasatan yang sangat rapi.
"Ini juga bergantung
kepada tahap kerjasama yang diberikan oleh semua pihak yang mempunyai kaitan
dengan tragedi itu membabitkan negara lain seperti Australia, Belanda dan
Ukraine.
"Semua ini turut bergantung kepada hasil siasatan yang masih
berjalan," katanya yang tiba di negara ini untuk menyambung proses rundingan dan
siasatan.
Kedatangan beliau turut dibantu Ketua Polis Negara Tan Sri
Khalid Abu Bakar yang kali kedua berada di negara ini dalam tempoh kurang
sebulan apabila tiba Isnin lalu bagi menyelesaikan masalah perundangan dan
siasatan berkaitan nahas MH17.
Sementara itu Khalid enggan mendedahkan
perkembangan rakaman data penerbangan (FDR) dan kotak hitam (CVR) pesawat MH17
yang memuatkan data penerbangan.
Pihak berkuasa kerajaan Belanda sebelum
ini pernah meminta Khalid menghantar tiga pakar penyiasat yang mahir di dalam
soal perundangan bagi membantu mereka menyiasat kes MH17
diUkraine.
Sumber:mymetro