Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengesahkan
tidak bercadang meneruskan niat mendapatkan khidmat bekas pemain pasukan Liga Perdana Inggeris
Chelsea, Samuel Eto’O.
Presiden PBNJ Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah pihaknya terpaksa
melupakan hasrat untuk menggunakan khidmat Eto’O berdasarkan faktor usia Pemain
Terbaik Afrika sebanyak empat kali itu.
Baginda bertitah Eto’O yang berusia 33 tahun tidak sesuai untuk beraksi bersama-sama
Johor Darul Ta’zim (JDT) berdasarkan polisi baharu PBNJ yang hanya ingin mengambil
pemain import muda untuk musim hadapan.
"Sebelum ini kita memang ada berbincang untuk mendapatkan khidmat Samuel Eto’o dan
beliau sendiri ada menunjukkan minat untuk datang ke Johor.
“Saya tidak nafikan dia pemain yang bagus tetapi ia bercanggah dengan polisi baharu PBNJ
yang inginkan pemain lebih muda.
"Jadi, kita tidak jadi untuk meneruskan rancangan ini," titah baginda kepada pemberita
dan sesi soal jawab bersama peminat JDT di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin,
pada Khamis.
Tunku Ismail bertitah sekalipun hasrat untuk mendapatkan khidmat bekas penyerang
kebangsaan Cameroon itu tidak diteruskan, namun baginda mempunyai perancangan
lain untuk mendapatkan pemain import lebih muda bagi memperkuat barisan skuad
Harimau Selatan musim hadapan.
Baginda bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemain import yang sedang
diintai namun berjanji akan memilih pemain import yang lebih baik daripada pemain sedia ada.
Dalam pada itu, baginda bertitah dua pemain import utama ketika ini, Luciano Figueora
dan Jorge Pereyra Diaz yang masih mempunyai baki kontrak selama setahun, mungkin
akan terus kekal bersama JDT untuk musim hadapan.
Namun, menurut baginda rombakan akan dibuat terhadap barisan pemain tempatan dan
tidak menafikan sedang merisik untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain dari
Selangor, Sarawak dan Terengganu - mStar online