Kuala Lumpur: Niat seorang
wanita untuk bersuamikan seorang lelaki yang beriman musnah sama sekali selepas
mengetahui lelaki yang dikahwininya tiga tahun lalu terbabit dengan sebuah
gerakan ajaran sesat seperti yang didedahkan laporan bersiri akhbar
ini.
Wanita yang mahu dikenali sebagai
Ika berusia 40-an itu tampil selepas membaca kisah sedih Azim dan Hajar yang
masing-masing ditinggalkan isteri, anak, dan menantu selepas aktif menganggotai
satu ajaran sesat dari negara jiran.
Menurut Ika, sebelum berkahwin
lelaki berkenaan kerap dilihat bersolat, Tarawih dan pergi ke surau.
“Namun, sebaik mengahwini saya,
suami kemudian secara perlahan-lahan memberitahu solat itu tidak
perlu.
“Pada mulanya saya tersentak
kerana didikan agama yang diterima sejak kecil menyatakan solat itu wajib dan
sebagai tiang agama, manakala suami pula cuba mempengaruhi saya untuk memasuki
ajaran agama baru,” katanya kepada Harian Metro.