KAJANG 7 Mac - Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr. Razali Nawawi menganggap hukuman perlu dijatuhkan terhadap individu yang mengaku diliwat, bukannya terhadap si pelakunya.
Beliau yang juga salah seorang guru kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, ada Majlis Ulama yang sudah mengeluarkan fatwa bahawa tuduhan liwat bukan satu cara untuk jatuhkan pemimpin Islam.
"Sepatutnya orang yang mengaku melakukan zina atau diliwat itu yang perlu dihukum bukan orang yang dituduh," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pakatan Rakyat (PR) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kantan sempena Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang disempurnakan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali malam tadi.
Hadir sama Ketua Wanita PKR merangkap Timbalan Pengarah PRK Kajang Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Hulu Langat Dr. Che Rosli Che Mat, Yang Dipertua PAS Gombak Salehuddin Nasir dan ADUN Sri Andalas Dr. Xavier Jayakumar.
Sehubungan itu, Razali berkata, pengundi di Kajang perlu mengambil pendekatan bijak dengan memberi undi kepada calon PKR iaitu Anwar pada PRK Kajang sekaligus dapat menolak pemimpin dikalangan Barisan Nasional yang digelar syaitan.
"Pengundi Kajang ini cerdik belaka tidak sama dengan pengundi di Sirikei. Janji (kerajaan), harga naik. Mereka kata kurangkan subsidi, 'bullshit'. Cakap saja naik harga.
"Jangan kita ditipu, Allah mengingatkan kita supaya jangan ditipu oleh iblis dan syaitan. Mari kita semua tipu golongan syaitan. Golongan ini adalah golongan syaitan yang hendak tipu tuan-tuan. Jangan kita diperbodohkan.
"Down! Mampus! Lawan! Kita mahu semangat Anwar Ibrahim meresap ke jiwa anak muda. Umur 20 tahun sudah masuk penjara, 67 tahun hendak masuk penjara lagi. Ya Allah, cukuplah 6 tahun Anwar meringkuk dalam penjara, Ya Allah where are you.
"Jangan dibiar Anwar sebagaimana engkau biar Zakaria dibunuh Yahudi, Nabi Yahya yang dibunuh Raja," ucap beliau dalam nada seperti membaca doa dihadapan kira-kira 80 orang hadirin.
View the original article here