Penyanyi era 60-an Datuk A. Rahman Hassan hilang keseimbangan badan dan sukar berdiri akibat mengalami strok ringan selepas beliau rebah semasa menghadiri majlis pelancaran DVD Asas Gerak Melayu yang diadakan di Istana Budaya dekat sini.
A. Rahman ketika dihubungi mStar Online berkata, meskipun berasa semakin sihat namun beliau sukar untuk berjalan kerana gagal mengimbangi badan selain berasa pening ketika berdiri.
"Alhamdulillah keadaan saya kini beransur pulih walaupun masih di tahan di wad untuk pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital.
"Doktor mengesyaki saya mengalami strok jenis ringan yang mana saya hilang keseimbangan badan dan akan rebah sekiranya cuba berdiri," katanya.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 3.30 petang, 15 Februari lalu itu, A. Rahman rebah ketika sedang duduk di dalam dewan sebelum sempat disambut oleh tetamu yang berada di sebelahnya.
Ketika kejadian, mantan Timbalan Ketua Pengarah Artistik Istana Budaya, Datuk Mohd Bisharuddin Mohd Nor Bhasa, sedang menyampaikan ucapan perasmian acara tersebut.
Penyanyi itu dikejarkan ke HKL selepas sebuah ambulan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.
Dalam perkembangan sama, A. Rahman berkata, sepanjang berada di hospital beliau turut menjalani rawatan fisioterapi untuk mendapatkan semula keseimbangan badannya.
Malah katanya, pelbagai ujian dilakukan termasuk imbasan magnetik resonan (MRI) dan sinar x bagi mengetahui punca sebenar keadaannya itu.
"Saya tidak mengalami sebarang masalah percakapan, hilang deria ataupun lumpuh pada anggota badan seperti mana pesakit strok yang lain cuma hilang keseimbangan badan sahaja.
"Selera makan juga semakin baik dan rawatan fisioterapi yang dilakukan menunjukkan tanda positif. Petang ini (Rabu) saya akan membuat ujian ‘ultrasound’ pula," katanya yang hampir sepuluh hari berada di HKL.
Tambah A. Rahman beliau berharap akan segera pulih daripada penyakit itu dan dapat pulang ke rumah dalam masa terdekat.
View the original article here