KAJANG, 14 Mac - Cuaca panas dan berjerebu yang melanda negara, mungkin telah menjejaskan kesihatannya, namun ia tidak melemahkan semangat Datin Paduka Chew Mei Fun untuk terus berkempen memenangi hati rakyat Kajang.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu yang sudah beberapa hari dilihat semakin 'hilang suara' mengakui berasa kurang sihat kerana sering terdedah di bawah cuaca panas demi memenuhi jadual kempen yang semakin padat.
"Semangat saya memang kuat walaupun jadual sangat padat sejak bermulanya kempen pilihan raya kecil ini dan saya akan minum lebih banyak madu supaya dapat bertahan sehingga ke saat akhir.
"Apa yang lebih penting, saya akan cuba untuk berehat seawal mungkin," katanya ketika ditanya mengenai tahap kesihatannya yang dilihat semakin merosot.
Beliau ditemui pemberita pada sidang media di Bilik Gerakan Induk MCA selepas mengadakan beberapa aktiviti berkempen sekitar Kajang. Turut hadir Pengerusi MCA Bahagian Hulu Langat, Lee Ban Seng.
Ditanya mengenai reaksi penduduk terhadapnya sepanjang kempen PRK yang telah memasuki hari ketiga hari ini, Chew mengakui beliau terpaksa bekerja keras untuk mengubah persepsi umum, khususnya terhadap BN dan MCA.
Dalam pada itu Chew semasa pertemuan dengan rakyat hari ini turut meluangkan masa untuk mendengar rintihan seorang warga emas yang terkejut apabila menerima notis tertunggak bil elektrik selama empat bulan yang mencecah sehingga RM11,656 pada tahun lepas.
Liaw Sang, 73, berkata notis tertunggak elektrik itu diterima Ogos tahun lepas setelah empat bulan tidak mendapat sebarang bil elektrik bermula April.
Dalam usaha membantu Liaw, Chew berkata beliau akan membawa laporan mengenai kes Liaw kepada Majlis Daerah Hulu Langat dan Tenaga Nasional Berhad Bangi bagi menyelesaikan masalah itu.
Mengenai manifesto BN untuk PRK, Chew berkata ia akan dilancarkan esok, 14 Mac.
View the original article here