Menurut salah seorang anggotanya, Munif Ahmad, album ini secara keseluruhannya mengisahkan tentang perjuangan Islam sebagai tanda memberi semangat kepada rakyat yang ditindas oleh rejim Zionis itu.
“Kami ada menjalinkan kerjasama dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di mana kami juga sering mengikuti aktiviti yang diaturkan termasuklah lawatan ke Gaza.
“Selepas melihat sendiri keperitan hidup yang dialami masyarakat di sana, kami terpanggil untuk menghasilkan album ini.
“Selain berkongsi pengalaman, kehadiran album ini juga untuk memberi semangat dan bantuan kepada masyarakat di sana,” katanya pada Zass, semalam.
Mengulas lebih lanjut mengenai penghasilan album itu, Munif memberitahu perbezaan kedua album itu adalah dari segi pemasaran dan juga jumlah lagu yang diselitkan.
“Kandungan lagu dalam dua album ini adalah sama, cuma ‘Keranamu Baitulmaqdis’ diedarkan oleh pihak Mapim sendiri dan hasil jualannya 100 peratus akan disalurkan pada Tabung Gaza.
“Manakala Demi Islam & Perjuangan pula diedarkan oleh Hijjaz Records Sdn Bhd sendiri,” jelasnya.
Apa yang menarik mengenai album ini ia turut melibatkan penceramah bebas popular Ustaz Azhar Idrus yang turut menyumbangkan lirik berjudul Anak Gaza.
Selain Anak Gaza, lagu-lagu yang terdapat dalam kedua-dua album ini ialah Bersatu Kita Teguh, Doa (Qunut Nazilah), Islam Agama Dagang, Wahai Kaum Muslimin, Wahai Muslimin Wahai Muslimat, Inilah Jalan Kita, Masyarakat Islam, Berjuang & Bekorban dan Pejuang Al-Qassam. Tiga lagu bonus bagi album Keranamu Baitulmaqdis ialah lagu nyanyian Firqatul Wa’ad.
'Selawat Nabi 2'
Dalam perkembangan lain, kumpulan Hijjaz kini sibuk menjalani sesi rakaman untuk album terbaharu mereka berjudul ‘Selawat Nabi 2’.
Menurut Munif, album ini dijangka siap sepenuhnya pada akhir April ini.
“Berbeza daripada album-album terdahulu, Selawat Nabi 2 ini kami akan menggunakan 100 peratus muzik ‘percussion’.
“Sebanyak 10 buah lagu selawat yang popular masa kini akan diselitkan dan kami bawanya dengan cara yang tersendiri,” katanya.
Kata Munif, penghasilan album baharu amat penting biarpun pasaran penjualan album buat masa kini tidak stabil.
“Mahu tidak mahu, kita perlu ada produk baharu untuk diperdengarkan kepada peminat kerana dari situlah mereka tahu kita masih aktif dalam industri.
“Bagi Hijjaz sendiri, kami bersyukur kerana memiliki peminat setia yang tidak jemu memberi sokongan.
"Selagi mereka ada, kami tetap akan teruskan perjuangan ini,” ujarnya.