KUALA LUMPUR 7 Mac - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengakui telah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyatakan pendiriannya tidak akan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor.
Khalid yang tekad mempertahankan jawatan itu telah memaklumkan pendiriannya kepada barisan Exco Kerajaan Negeri baru-baru ini.
"Saya memaklumkan kepada Sultan Selangor dan barisan exco mengenai tindakan saya," katanya pada sidang media selepas program bersama rakyat Selangor di Dewan Taman Mesra Kajang, Selangor.
Pengakuan Khalid itu mengukukan lagi khabar angin mendakwa beliau bakal menghadap Sultan Selangor sejurus menerima surat arahan peletakan jawatan daripada partinya pada awal Februari lalu.
Bercakap mengenai hal itu, beliau mengulangi amaran bahawa tidak akan menandatangani surat peletakan jawatan walaupun dari pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Tidak. Saya tidak akan tandatangan (jika) ada surat untuk saya meletakkan jawatan sampai ke pejabat saya.
"Saya tidak pernah melihat kalau betul saya tandatangani surat tersebut barisan exco pasti sudah dimaklumkan dulu," katanya.
Isu pengalihan kuasa kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Selangor itu ekoran tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dilantik sebagai menteri besar sekiranya memenangi PRK tersebut.
Krisis melibatkan pimpinan PKR semakin gamat apabila Khalid telah menandatangani Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan Persekutuan bagi menstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.
Tindakan Khalid telah mengejutkan pimpinan Pakatan Rakyat yang tidak mendapat sebarang maklumat berhubung MoU berkenaan.
View the original article here