KUALA LUMPUR 15 April - Sebanyak 21 buah syarikat berasaskan pertahanan dibawa oleh negara Afrika Selatan bagi memperagakan produk mereka di pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2014 (DSA 2014) khususnya dalam industri aeroangkasa.
Ketua Pengarah Bahagian Pembuatan Aeroangkasa dan Pertahanan Elektroteknikal Jabatan Perdagangan dan Industri Afrika Selatan, Nomfuneko Majaja berkata, negara tersebut memberi penekanan yang khusus terhadap industri aeroangkasa dan strukturnya.
"Afrika Selatan sering mengambil bahagian dalam pameran ini (DSA), bagi memperkenalkan kepada negara luar tentang produk yang terdapat di negara ini.
"Afrika Selatan mempunyai kemahiran dan kelebihan yang tinggi dalam industri automotif dan aeroangkasa disamping teknologi terkini dalam sektor pembuatan," katanya kepada wartawan Rakyat News dalam satu temubual di pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2014 (DSA 2014) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Tambah Nomfuneko, apa yang diharapkan oleh negara tersebut dengan penglibatan dalam acara sebegini adalah supaya syarikat yang mengambil bahagian mendapat pendedahan apabila bergaul dengan syarikat antarabangsa yang lain.
"Kami berharap agar syarikat-syarikat yang kami bawa dari Afrika Selatan ini mampu untuk mengadakan satu usahasama atau perjanjian dengan syarikat dari negara lain.
"Di mana syarikat-syarikat ini boleh membawa pulang ke Afrika Selatan dan merealisasikan faedah dari usahasama ini dalam bentuk satu produk baharu yang boleh dipasarkan ke Malaysia dan juga negara-negara yang turut mengambil bahagian dalam pameran (DSA) pada kali ini," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata penglibatan Afrika Selatan dalam pameran ini juga merupakan satu bentuk pelaburan bijak kerana syarikat-syarikat ini boleh belajar tentang bagaimana sesetengah institusi dari negara luar membantu industri dan berjaya seperti sekarang.
Penganjuran pameran DSA kali ini mencatat penyertaan terbesar sejak ia dianjurkan pada 1988, dengan penglibatan kira-kira 1,000 syarikat industri pertahanan dari 50 buah negara berbanding 850 pada 2012.
Antara syarikat pertahanan luar negara yang menyertai DSA 2014 ialah dari Australia, Austria, China, Perancis, Jerman, Itali, United Kingdom, Afrika Selatan dan Norway.