KUALA LUMPUR 16 April - Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai 14 hingga 17 April ini dilihat sebagai platform kepada pengusaha dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mempromosikan produk yang ditawarkan oleh syarikat khususnya yang berkaitan dalam industri pertahanan.
Syarikat peruncit tekstil bumiputera, Jakel Trading Sdn. Bhd. (Jakel) yang terkenal dengan membekalkan jenis kain yang berkualiti dan memuaskan pelanggannya turut mengambil peluang ini bagi memperkenalkan tekstil yang digunakan untuk membuat pakaian seragam anggota keselamatan di negara ini.
Pengarah Urusan Kumpulan yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Jakel Trading Sdn Bhd, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, setiap peniaga dan pempamer yang terlibat dengan pameran DSA kali ini seharusnya berfikiran terbuka dan berani untuk membawa produk baru keluaran syarikat mereka.
"Kita perlu berani membawa produk kerana teknologi ini subjektif, setiap bulan..setiap tahun kita akan ada teknologi yang baru. Oleh itu, kita harus berani tampil untuk menandingi produk yang ada di Malaysia dan juga dari luar negara.
"Kini, negara Eropah mendahului negara lain dalam bidang teknologi, sebab itu saya sarankan setiap peniaga perlu memikirkan jalan supaya produk yang kita bawa akan sampai ke tahap yang sama dengan produk dari negara luar," katanya kepada RakyatNews ketika ditemui di PWTC hari ini.
Bertanya mengenai penglibatan Jakel dalam membuat pakaian seragam kepada anggota pasukan keselamatan di negara ini, Mohamed Faroz berkata, tiada jangka masa tertentu ditetapkan kerana pihaknya akan terus berkhidmat selagi diperlukan dan memberi jaminan terhadap kepuasan kepada penggunanya.
"Buat masa ini, padangan positif lebih diutamakan. Tiada jangka masa yang ditetapkan (untuk membekalkan kain). Kami yakin dapat memberi kepuasan kepada pengguna kerana ia (kualiti) menjadi satu kemestian kepada kami untuk dititikberatkan," katanya.
Sementara itu, Syarikat Pembinaan BLT Sdn. Bhd. (PBLT) yang turut terbabit menjayakan pameran DSA tahun ini turut berharap pameran seperti ini akan dapat diteruskan kerana memberi peluang kepada mereka bertukar-tukar pendapat serta pengalaman yang secara tidak langsung boleh diaplikasikan dalam projek yang akan dibuat pada masa akan datang.
Pengurus Besar Kanan Bahagian Tender dan Kontrak PBLT, Nor Khairiah Abdul Halim berkata, pameran yang diadakan ini cukup relevan dan menepati dengan syarikatnya yang terlibat dalam pengurusan projek.
"Pameran ini sangat relevan kerana secara tidak langsung, pihak kami dapat bertukar pengalaman serta mengetahui teknologi yang dibawa oleh negara luar, secara tidak langsung, kami dapat memberi inovasi kepada pembinaan yang bakal kami laksanaka," katanya.
Seorang lagi Pengurus Besar Kanan Bahagian Projek dan Tanah PBLT, Noor Azman Embi berharap agar pameran ini dapar diteruskan kerana ia memberi banyak pengetahun baru kepada pihaknya khususnya dalam peralatan dan kemudahan keselamatan.