KUALA LUMPUR 15 April - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan melawat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Keberangkatan tiba Tuanku Abdul Halim disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia dan perwakilan luar negara.
Seri Paduka melawat pusat pameran syarikat-syarikat pertahanan dari pelbagai negara termasuk syarikat pengeluar tempatan iaitu DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech), SME Ordnance Sdn Bhd, Sapura Group dan Boustead Naval Shipyard.
Selain itu, semasa di ruang pameran SME Ordnance Sdn Bhd, Seri Paduka meluangkan masa mencuba senjata M4 Carbine Monolithic Piston.
Sejurus selepas itu, Tuanku Abdul Halim bersama Hishammuddin turut menaiki kereta perisai milik Thales dari United Kingdom yang dilengkapi pelancar peluru berpandu berhad laju tinggi 'Startreak'.
Pameran DSA 2014 yang berlangsung sehingga Khamis merupakan pameran peralatan dan teknologi pertahanan, sistem persenjataan dan penyelesaian keselamatan generik terkini untuk memenuhi keperluan pasukan keselamatan negara serta negara-negara Asia Pasifik.
Penganjuran kali ini mencatat penyertaan terbesar sejak ia dianjurkan pada 1988, dengan penglibatan kira-kira 1,000 syarikat industri pertahanan dari 50 buah negara berbanding 850 pada 2012.
Antara syarikat pertahanan luar negara yang menyertai DSA 2014 ialah dari Australia, Austria, China, Perancis, Jerman, Itali, United Kingdom, Afrika Selatan dan Norway.
Lebih 27,000 pengunjung dari 50 negara termasuk 300 tetamu kenamaan delegasi antarabangsa dijangka mengunjungi DSA 2014.