KUALA LUMPUR 15 April - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan agar pihak media tidak membuat sebarang spekulasi mengenai dakwaan pembantu juruterbang pesawat MH370, Fariq Abdul Hamid dikesan membuat panggilan dari pesawat tersebut.
Hishamuddin berkata, walaubagaimanapun dakwaan tersebut kini berada di dalam siasatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan sebarang penyebaran mampu menjejaskan siasatan tersebut.
"Dakwaan tersebut berada di dalam siasatan PDRM dan saya tidak mahu sesiapa membuat sebarang spekulasi mengenai perkara-perkara yang tiada pengesahan.
"Sebarang spekulasi akan menyebabkan keluarga mangsa-mangsa yang terlibat boleh tersinggung selain boleh menjejaskan siasatan pihak polis serta risikan antarabangsa," katanya kepada pemberita di dalam sidang media Pameran Defence Services Asia (DSA) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Isyarat telefon bimbit milik pembantu juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia, MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, Fariq Abdul Hamid dilaporkan telah dikesan sebuah menara telekomunikasi atau “cell tower” di Pulau Pinang, sejurus sebelum pesawat itu hilang dari radar pada hari kejadian.
Perkara itu dimaklumkan oleh seorang pegawai Amerika Syarikat yang terbabit dengan siasatan kepada saluran berita CNN pada Isnin. Dia berkata maklumat itu telah dikongsikan oleh seorang anggota penyiasat Malaysia.