KUALA LUMPUR 15 April - AirAsia mengesahkan pihaknya akan memindahkan operasinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menjelang 9 Mei ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun, berkata walaupun masih terdapat beberapa isu komersial yang tertangguh, perkara itu tidak akan membataskan operasinya di klia2.
Beliau berkata, AirAsia membuat persediaan yang perlu untuk berpindah ke klia2, sejajar dengan spesifikasi Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT), seperti ujian operasi dan 'airside'.
Dengan bantuan dan sokongan daripada pihak Malaysia Airport Holding Bhd, kami akan dapat melengkapi kehendak spesifikasi ORAT untuk memudahkan proses perpindahan kami," katanya.
Kamarudin berkata, syarikat penerbangan itu yakin perkhidmatan di lapangan terbang baharu itu dan perkhidmatan Kumpulan AirAsia yang bertaraf dunia itu akan terus meningkatkan pertumbuhan industri pelancongan negara, serta industri dan sektor berkaitan yang lain.