KUALA LUMPUR 23 April - Satu jenayah samun yang dilakukan pada 4 April lalu jam 9 malam berlaku di sebuah hotel berada di Jalan Thambipillay di sini yang melibat 4 orang penyamun diantaranya adalah seorang bekas anggota polis bantuan dan 2 orang anggota askar yang telah menyamun seorang penghuni hotel terbabit.
Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata, hasil daripada siasatan pihak polis telah berjaya memberkas 2 anggota kumpulan terbabit manakala lagi 2orang anggota kumpulan terbabit dipercayai berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Hasil daripada siasatan yang dilakukan, kita telah menangkap 2 orang lelaki dimana dalam tangkapan pertama seorang lelaki berusia 29 yang berasal daripada Alor Setar manakala dalam tangkapan berasingan seorang lelaki berusia 24 tahun dari Air Tawar Selangor. Tangkapan ini dilakukan di Taman Bandar Baru Mahkota jam 9 malam.
"Kita juga mendapati terdapat 2 orang lagi rakan yang masih di perlukan untuk diberkas dan terpaksa berhubung dengan pihak tentera kerana 2 rakan ini melibatkan anggota tentera,"katanya kepada pemberita pada sidang media di IPD Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir sama pada sidang media ini Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfield, Supritenden Aida Abdul Hamid, Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Sidambaran dan Inspektor Tan Tiong Guan.
Beliau menambah, salah seorang suspek merupakan bekas anggota polis bantuan dan mudah melalukan jenayah samun berikutan beliau memiliki perkakasan dan peralatan seperti seorang anggota polis.
"Dia merupakan bekas polis bantuan dan mempunyai perkakasan serta peralatan seolah-olah dilihat sebagai seorang anggota polis. Dia menggunakan perkakasan yang dipakai oleh polis sebagai satu penyamaran dan mudah melakukan rompakan.
"Kumpulan ini sudah terbabit daripada bulan Febuari lalu dan mempunyai 4 rekod jenayah positif didalam kes samun ini. tempoh reman sudah dilaksanakan selama 9 hari dan akan berakhir pada 25 April ini," katanya.
Beliau menegaskan bahawa hasil daripada rampasan pihak polis menemui 9 buah laptop, 7 buah telefon bimbit serta perkakasan dan peralatan anggota polis.
Kes ini disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun keseksaan Samun Berkumpulan dan Bersenjata.
sumber