KUALA LUMPUR 23 April - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan petisyen rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat yang dihadapinya berikutan tarikh akhir untuk merayu tamat esok.
Peguam Zaleha Al-Hayat yang mewakili Anwar berkata, petisyen yang disediakan oleh Ramkarpal Singh akan dihantar ke pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan sungguhpun perintah asal mahkamah adalah untuk menghantar notis usul pelanjutan masa bukannya surat kepada mahkamah.
"Adalah berisiko untuk memfailkan usul kerana wujud selang masa, jadi kami akan memfailkan petisyen sebelum tarikh tamat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Firma Guaman Karpal & Co semalam menghantar surat kepada penjabat pendaftar Mahkamah Persekutuan bagi meminta tempoh lanjutan dua minggu bagi memfailkan petisyen ekoran peguam utama kumpulan pembelaan, Karpal Singh meninggal dunia akibat kemalangan.
Walaubagaimanapun surat yang dihantar oleh firma guaman tersebut ditolak hari ini.
Zaleha berkata pihak pembelaan mempunyai masa 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan selepas firma itu menerima alasan penghakiman bertulis daripada mahkamah pada 14 April.
Katanya peguam kanan Datuk Sulaiman Abdullah, yang sebelum ini merupakan peguam utama mewakili Anwar dalam kes liwat itu, akan menyertai semula barisan peguam bela bagi menggantikan mendiang Karpal Singh.
Pada 15 Julai, 2009, semasa kes itu didengar di Mahkamah Tinggi, Sulaiman menarik diri daripada mewakili Anwar atas alasan masalah kesihatan.
Pada 7 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan 2012 yang membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Rayuan , sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dan membenarkan Anwar diikat jamin RM10,000.
sumber