KUALA LUMPUR 25 April - Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mahu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan pemantauan berterusan terhadap perkhidmatan bas ekspres dan persiaran.
Katanya, ia bertujuan mengembalikan semula keyakinan pelancong domestik dan antarabangsa terhadap industri pelancongan negara selepas beberapa insiden membabitkan bas baru-baru ini.
"Walaupun SPAD dan JPJ melaksanakan tugas dengan baik, namun pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperketat dan dilakukan secara konsisten.
"Kita (kementerian) harap SPAD dan JPJ tidak hanya bertindak ketika berlaku nahas sahaja. Sebaliknya mereka perlu memainkan peranan sebelum dan selepas pengambilan pemandu bas," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis pelancaran Promosi Kerja Kahwin 2014, di sini hari ini.
Dalam bulan ini hingga semalam, empat kemalangan melibatkan bas dilaporkan berlaku di Pahang, ada yang menyebabkan penumpang maut.
sumber