KUALA LUMPUR 15 April - Kelab Chelsea dilaporkan bersetuju melabur sejumlah £50 juta (RM271.81 juta) bagi mendapatkan penyerang Atletico Madrid, Diego Costa.
Pemain kelahiran Brazil ini dijangka akan ke Stamford Bridge selepas kedua-dua pasukan bertemu pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara.
Pengurus pasukan, Jose Mourinho mahu mencari pengganti Fernando Torres yang menyertai Chelsea pada tahun 2011 kerana gagal menyerlah musim ini.
Mourinho tidak berselindung mengenai kehendaknya yang mahukan penyerang kelas dunia dan setakat ini Costa menjadi perhatian.
Costa bakal beraksi bersama Sepanyol pada aksi Piala Dunia Jun ini, menjaringkan 32 gol bersama Atletico yang kini menerajui kedudukan Liga Sepanyol.
Pemain berusia 25 tahun ini mengalami kecederaan ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Getafe Ahad lalu, namun dijangka akan kembali menyertai rakan sepasukannya menjelang perlawanan bertemu Chelsea separuh akhir pertama Liga Juara-Juara pada 22 April ini.
Peluang itu pastinya akan digunakan Costa untuk mempamerkan aksi terbaik di depan Mourinho.