SHAH ALAM 15 April - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan menggunakan media rasmi untuk berkempen bagi jawatan timbalan presiden PKR seperti didakwa Pemuda PKR (AMK) negeri.
"Tidak, saya tak guna," kata Khalid ringkas kepada pemberita petang ini sewaktu mengulas dakwaan itu selepas selesai sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.
AMK Selangor semalam mempertikaikan penyiaran rencana berjudul “Pemilihan PKR 2014: Kenapa Tan Sri Khalid wajar diangkat sebagai timbalan presiden” di Selangor Kini pada 12 April.
Setiausahanya Saifuddin Shafi Muhammad mengkritik penyiaran rencana itu dan mendakwa ia disalah guna Khalid sebagai menteri besar Selangor.
Saifuddin turut mendakwa akaun Facebook dan Twitter media sama turut “disalah guna” untuk tujuan untuk berkempen.
Sementara itu, Selangor Kini hari ini turut menafikan menyokong mana-mana calon timbalan presiden dalam pemilihan PKR, melalui penyiaran artikel itu.
Ketua pengarangnya Fazallah Pit juga berkata keputusan menyiarkan rencana berhubung perkembangan pemilihan parti hanya supaya “tidak ketinggalan isu”.
"Penyiaran rencana dibuat atas keputusan editorial sepenuhnya, bukan dari telunjuk mana-mana pihak termasuk pendukung Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," katanya.
Dalam kenyataan hari ini, Fazallah menafikan artikel yang disiarkan itu mengutuk calon lain, sebaliknya petikan blog yang hanya memperkata kejayaan calon dan tidak menyinggung pihak lain.
"Sidang editorial sedia mempertimbang penyiaran rencana calon lain, jika ada dan keputusan itu sepenuhnya bergantung kepada budi bicara ketua pengarang," tegas beliau.