KUALA LUMPUR 14 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia telah melakukan segala daya untuk mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac, dan dapat merasa tenteram kerana bantuan yang diberikan dari serata dunia.
"Kita telah berkongsi, dan menerima data radar tentera, sambil meletakkan usaha mencari mengatasi keselamatan nasional," kata perdana menteri dalam ucapan di Forum Putrajaya 2014 di sini hari ini.
Pencarian itu, kata beliau, telah menyebabkan aset dari berpuluh negara bergabung dan dikerahkan dalam usaha yang benar-benar bersifat global.
"Dalam tempoh sebulan lalu, kita telah melihat kapal-kapal China memasuki perairan Vietnam untuk mencari pesawat berkenaan," kata beliau, sebagai menyebut contoh tahap kerjasama yang dapat dilihat semasa operasi mencari.
Najib berkata cabaran-cabaran ini ditangani dengan bantuan dari rakan-rakan Malaysia dalam Asean, dan bergantung pada perhubungan yang dipupuk di luar struktur formal Asean.
"Sambil memperkukuh Asean, tugas kita turut meliputi kolaborasi lebih luas dalam keselamatan," katanya pada forum dengan tema 'Memperkukuh Keselamatan dan Kestabilan Serantau".
Ia diadakan bersempena berlangsungnya Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke 14 di sini mulai hari ini hingga 17 April.
Penerbangan MH370 ke Beijing dengan 239 orang di dalamnya meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi 8 Mac dan hilang dari imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di ruang angkasa Laut China Selatan.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Najib mengumumkan pada 24 Mac - 17 hari selepas kehilangann pesawat itu - bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Operasi mencari melibatkan beberapa negara sedang dijalankan di selatan Lautan Hindi, di luar pantai bandaraya Perth, Australia.