Foto Ihsan : FB
TEMERLOH - Seorang penghantar surat maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori tangki di Km 127 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata dalam kejadian 8.50 pagi itu, Ahmad Dolah, 60, maut di tempat kejadian.
Nahas berlaku ketika mangsa membelok mahu memasuki sebuah stesen minyak di kanan jalan sebelum dirempuh sebuah lori tangki dari arah belakang, menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan dan digilis oleh lori tersebut, katanya kepada pemberita.
Katanya selepas kejadian, pemandu bertindak memandu lorinya dan meninggalkan lokasi nahas.
Polis sedang menjejaki pemandu berkenaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar tampil membantu polis, katanya.