SHAH ALAM 15 April - PAS Selangor tidak berhasrat untuk mencadangkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu meskipun mempunyai 15 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pesuruhjaya PAS negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, cadangan tersebut tidak akan dibangkitkan buat masa ini sebaliknya mengambil pendekatan ?tunggu dan lihat? mengenai perkembangan pelaksanaan hukum itu yang sedang diusahakan Kerajaan PAS Kelantan ketika ini.
"Kita tunggu perkembangan (cadangan pelaksanaan hukum hudud) di Kelantan dahulu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Iskandar diminta mengulas sama ada PAS Selangor akan mengikut jejak langkah kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu.
Pada 10 April lalu, kerajaan PAS Kelantan bertegas mahu membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu biarpun menerima tentangan daripada sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pendirian itu dinyatakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang turut memberi gambaran jelas bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan sesekali berganjak daripada keputusan tersebut.
Usaha kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu turut mendapat sokongan umat Islam termasuk pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).