KUALA LUMPUR 15 April - System Consultancy Services Sdn Bhd (SCS) memperkenalkan sistem perintah dan kawalan (command and control) pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2014 (DSA 2014) yang akan digunakan oleh semua badan ketenteraan negara.
Pengarah Urusan SCS Mat Asis Mahnoon berkata, sistem taktikal tersebut digunakan oleh pegawai tentera menggunakan sistem kawalan merangkumi penggunaan radar, kamera berdefinisi tinggi dan Pesawat Tanpa Pemandu (UAV).
"Ketiga-tiga komponen pemantauan ini melengkapi satu sama lain. Apabila sebuah ancaman menghampiri kita harus mengesannya, cara mengeesan ancaman itu adalah menggunakan radar.
"Ketika itu kita belum pasti samaada ancaman tersebut adalah positif ataupun tidak kerana ianya hanyalah andaian. Dan sekiranya ancaman tersebut semakin hampir maka ketika itu kita menghantar kamera untuk mengenal pasti ancaman tersebut.
"Dan apabila kita sudah pasti terhadap ancaman tersebut barulah kita menggerakkan tentera sebelum kita menyerang ancaman tersebut," katanya kepada wartawan RakyatNews di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
SCS yang menyambut ulang tahunnya kali ke-20 pada 2013 kini mempunyai empat jenis UAV bagi kegunaan risikan ketenteraan berdasarkan keadaan tertentu dan jarak sesebuah kawasan sesebuah operasi.
Antara UAV yang diperkenalkan SCS termasuk Tactical UAV (TUAV) yang dikenali Nyamok berkebolehan untuk terbang dengan kejauhan 50 kilometer pada ketinggian 1,000 kaki.
Nyamok mula diperkenalkan pada 2006 dan beberapa tahun selepasnya sebuah lagi UAV jarak dekat diperkenalkan syarikat tersebut dikenali sebagai Agas QR (Quad Rotor).
"Produk utama kita adalah sistem perintah dan kawalan. Dan kini kita telah mengembangkannya dari peringkat strategik iaitu hanya untuk pegawai peringkat tertinggi ke peringkat taktikal iaitu waktu semasa (real time).
"Jadi sistem perintah dan kawalan tersebut kini yang dikendalikan dalam operasi taktikal disepadukan pada kapal (tentera) dan kenderaan ketenteraan menjadikan sistem perintah dan kawalan itu semakin efisyen," ujar Mat Asis.
Jelas beliau lagi, sehingga kini sebanyak 12 Kapal Diraja (KD) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan sistem yang dibangunkan oleh SCS.
Menurutnya lagi, SCS kini dalam proses rundingan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk memasang sistem tersebut pada setiap kereta peronda di seluruh negara.
"Kita kini telah memasang sistem tersebut pada 400 unit kenderaan polis untuk kegunaan Lembah Klang sahaja," katanya.
Mat Asis kemudiannya menjelaskan SCS kini dalam proses menyepadukan platform Big Data Analysis bertujuan membuat jangkaan terhadap pola atau trend terhadap sesebuah ancaman bagi menghalangnya dari berlaku.
"Contohnya insiden penculikan di Sabah. Analasis akan mencari corak lokasi dan masa insiden tersebut. Daripada risikan yang diperolehi kita boleh bersiap sedia dengan lebih baik.
"Jadi kita boleh meletakkan tentera kita di lokasi-lokasi tertentu. Maka sekiranya ada cubaan untuk menculik kita telah bersiap sedia," katanya lagi.