PUTRAJAYA 15 April - Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd. Akin mengemukakan beberapa maklumat mengenai kekayaan luar biasa bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut mempersoalkan bagaimana Daim tidak tersenarai dalam 40 individu terkaya di Malaysia sebagaimana disiarkan majalah Malaysian Business dan SPRM wajar menyiasat perkara itu.
"Setakat ini tiada lagi sebarang tindakan susulan diambil oleh mana-mana pihak ke atas Tun Daim, maka AMK menggesa SPRM sebagai badan yang telus untuk menyiasat mengenai perkara ini.
"Hanya SPRM dapat mengesah atau menafikan sebarang bentuk pertuduhan ke atas Tun Daim," katanya kepada pemberita di pekarangan ibu pejabat SPRM di sini.
Pada 18 Mac lalu, Shamsul Iskandar mengeluarkan satu kenyataan susulan mengenai pendedahan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Daim mempunyai wang berbilion ringgit di dalam dan luar negara.
Bagaimanapun, Daim ketika menolak tuduhan itu berkata, segala tuduhan tersebut cuma memperlihatkan kejahilan Anwar dalam aspek perbankan.
Menurut Shamsul Iskandar, kerajaan juga komited mengenai perkara itu dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kekayaan luar biasa itu untuk tampil ke hadapan.
"Jadi kita hadir ke SPRM seperti yang diminta, malah maklumat juga sudah kami berikan. Kita tertanya-tanya, bagaimana seorang bekas menteri kewangan mendapat kekayaan seperti ini, tentunya kekayaan yang diperolehnya akan merugikan negara.
"Namun Tun Daim juga sehingga kini menafikan mengenai perkara berkenaan dan mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbau sindiran," katanya.