KUALA LUMPUR 15 April - Pengkhususan Kumpulan Weststar menerusi anak syarikatnya Global Komited dalam pembinaan struktur kenderaan biasa kepada kenderaan ketenteraan tahan lasak menjadikan ianya sebuah syarikat tempatan yang dinamik didalam industri kejuruteraan pertahanan negara.
Naib Presiden Kanan Kumpulan Weststar Bahagian Automotif Datuk Nik Hamdan Nik Hassan berkata,
"Global Komited merupakan syarikat yang diberi lesen oleh kerajaan untuk membina dan mereka cipta kejuruteraan sesebuah kenderaan dengan melakukan perubahan dari kenderaan biasa dianaiktaraf kepada kegunaan tentera dan polis," katanya kepada wartawan RakyatNews pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2014 (DSA 2014) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Penyertaan Weststar pada DSA 2014 merupakan kali ke-4 semenjak kali pertama syarikat tersebut menyertainya pada 2008.
"Pameran kali ini Weststar mempamerkan lima buah kenderaan. Yang pertamanya ialah model GKM1 iaitu sebauh kenderaan yang boleh memuatkan pelbagai senjata... kenderaan ini asalnya dari salah satu varian Toyota dan dinaiktaraf kepada kenderaan tentera,"
"Yang keduanya adalah APC (Armored Personal Carrier) yang juga dari pengendali Toyota biasa tetapi dinaiktaraf kepada kenderaan berperisai. Ianya boleh menghalang serangan bom tangan, periuk api atau peluru 7.6 kaliber tidak akan menembusi kenderaan ini," ujarnya.
Jelas Nik Hamdan lagi, APC juga merupakan kenderaan berperisai terkini yang terlaju didalam industri apabila boleh mencecah kelajuan sehingga 130 kilometer sejam dengan berat mencecah lima tan tanpa penumpang.
Tiga lagi model yang dipamerkan pada DSA 2014 adalah Maxus V80, General Service (GS) Cargo dan Armored Land Cruiser.
Tambah beliau, DSA merupakan sebuah landasan terbaik bagi Weststar untuk mempamerkan kenderaan-kenderaan terkini kepada kumpulan sasar yang mempunyai tujuan tertentu termasuk mencari kenderaan berperisai bagi kegunaan sekuriti dan pertahanan.
"Sehingga kini pelbagai reaksi positif dari orang ramai dan daripada kumpulan sekuriti pertahanan dan kita harapkan selepas pameran ini ada lanjutan dan khidmat balas dari syarikat-syarikat terbabit," katanya lagi.