KUALA LUMPUR 7 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menggariskan perancangan kerajaan dalam usaha menjadikan Malaysia lebih kukuh dan makmur ketika berucap pada Sidang Kemuncak Dialog Ekonomi Kebangsaan di sini.
Najib berkata pengukuhan ekonomi akan memastikan negara kekal pada kedudukan untuk merealisasikan status negara pendapatan tinggi.
"Saya memilih untuk menjaga kepentingan jangka penting negara, mengatasi populariti jangka pendek saya. Dan saya yakin perubahan ini akan berjaya. Rekod ekonomi kita membuktikannya," katanya pada sidang kemuncak anjuran bersama Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli).
"Pengukuhan ekonomi akan memastikan negara kekal pada kedudukan yang baik untuk merealisasikan status negara berpendapatan tinggi dan negara maju," katanya
Beliau turut menegaskan tanggungjawab utamanya ialah melindungi rakyat Malaysia.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kepimpinan adalah membuat apa yang betul, bukan apa yang mudah, dan keputusan salah akan merencatkan pembangunan Malaysia.
Ini termasuk pelaksanaan pembaharuan subsidi yang menyaksikan pengurangan pembayaran untuk gula dan bahan api, selain peralihan daripada subsidi menyeluruh kepada sokongan bersasar bagi membantu mereka yang sangat memerlukannya.
Perdana Menteri menjelaskan secara terperinci beberapa isu utama, termasuk pentingnya untuk melaksanakan subsidi bersasar, usaha untuk memerangi rasuah, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menarik pelaburan asing.
"Jika ekonomi mahu terus berkembang kukuh, kita bukan sahaja perlu mengurangkan perbelanjaan tidak produktif, malah meluaskan aliran pendapatan, yang membolehkan kita melabur pada masa depan.
"GST (yang akan diperkenal pada April 2015) akan membolehkan kita untuk meningkatkan perbelanjaan pembangunan. Daripada memberi subsidi, kita boleh membelanjakan lebih banyak wang untuk pelaburan produktif - ke atas infrastruktur, sekolah dan penjagaan kesihatan," katanya.
Najib berkata beliau tidak memandang ringan terhadap keputusan untuk mengurangkan subsidi atau memperkenal GST.
"Saya memikirkan secara mendalam mengenai risiko, kemungkinan kesannya ke atas rakyat. Namun saya memutuskan kita perlu bertindak - untuk menjamin keselamatan, kemerdekaan dan pertumbuhan masa depan," kata Perdana Menteri.
View the original article here