KUALA LUMPUR 15 April - Keputusan mencadangkan penubuhan pembentukan pasukan penyiasatan antarabangsa bagi menyiasat insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hanya akan diputuskan selepas ianya dibentangkan ke Kabinet dalam masa yang terdekat.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata tiga jawatankuasa peringkat kementerian yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyelaras dan memperkukuhkan usaha mencari dan siasatan berhubung kehilangan pesawat MH370, akan turut membentangkan memorandum pertamanya kepada Kabinet pada minggu hadapan.
"Kita mungkin akan dapat membentangkan memorandum itu kepada Kabinet semasa ia bermesyuarat pada mesyuarat kabinet seterusnya yang kita jangka pada minggu hadapan," katanya kepada pemberita di dalam sidang media Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Sebelum ini, Hishammuddin mengumumkan tiga jawatankuasa peringkat kementerian yang ditubuhkan itu terdiri daripada Jawatankuasa Waris Penumpang, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pergerakan Aset.
Jawatankuasa Waris Penumpang diketuai Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin; Jawatankuasa Teknikal diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, dan Jawatankuasa Pergerakan Aset diketuai Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri.